MEMILIH BERHENTI KERJA UNTUK MEMBINA JENAMA SENDIRI “NGENCESS”

Pandangan mata kasar melihat mereka yang bekerja dalam bidang minyak dan gas sudah pasti menjanjikan kewangan yang kukuh namun perjalanan dan cerita mereka tiada siapa mahu menyelaminya dan hanya diri mereka sendiri yang mengetahui dan merasainya.

Bagi Mohd Redzuan Shah Ahmad, 10 tahun dalam bidang itu (minyak dan gas) sudah banyak yang dilalui dan tiba masanya dia memulakan perniagaan dengan mengeluarkan produk minumannya sendiri, Coffee Ngencess setanding kafe mewah lain.

Perniagaan yang beroperasi hampir lima tahun itu kini mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat sekaligus menawarkan minuman yang menggunakan bahan mentah berkualiti tinggi pada harga sangat berpatutan.

“Bisnes Ngencess iaitu jenama produk air kisar yang sangat diminati golongan muda dengan gaya hipster bermula daripada ajakan rakan-rakan ke tempat pembekal menjual minuman mewah. Saya mula berminat dan tidak menunggu lama untuk berhenti daripada kerjaya lama untuk fokus dalam membina produk sendiri.

“Bahan mentah yang digunakan berkualiti tinggi seperti di kafe-kafe mewah tetapi menjual pada pelanggan dengan harga sangat berpatutan yang digunakan dalam kafe mewah. Ia memberi pelanggan kemudahan untuk membuat pilihan pada harga murah tetapi mendapat kualiti setimpal,” cerita bapa kepada empat cahaya mata ini.

Mohd Redzuan berkata, beliau tidak menyesal dengan keputusan yang dibuat lima tahun lalu kerana melalui perniagaan berasaskan minuman itu, banyak perkara dapat diselesaikan termasuk menambah aset syarikat dan mengorak cabang bisnes lain juga.

Selain itu, banyak masa yang dapat beliau habiskan bersama keluarga berbanding ketika bekerja dalam bidang minyak dan gas apabila sering berjauhan dengan mereka yang tercinta. Melihat anak-anak membesar di hadapan mata bagaikan satu nikmat bagi anak kelahiran Muar, Johor ini.

Katanya, dengan menjalankan perniagaan itu juga, beliau mampu melunaskan hutang piutangnya sebelum ini malah rezeki yang diperoleh itu dikembangkan kepada usahawan lain untuk membuka peluang perniagaan menggunakan produk minumannya, Coffee Ngencess di tempat mereka.

Bagaimanapun, sesuatu permulaan bukanlah semudah yang disangka, Mohd Redzuan berkata, pada mulanya beliau hanya membuka gerai jualan berpayungkan khemah biasa dan ketika itu hanya berfikir untuk memberi orang ramai cuba rasa produk itu tanpa perlu ke kafe mewah.

“Alhamdulillah permintaan sangat baik dan mula tular dan mempunyai pengikut yang tersendiri. Bermula daripada detik itu, ramai pelanggan yang minta buka cawangan di tempat-tempat mereka antaranya di Bandar Baru Uda Johor Bahru, Kota Masai, Larkin, Kulai, Parit Raja dan di luar Johor seperti di Klebang Melaka, Dataran Sentrio Negeri Sembilan dan Cheras Kuala Lumpur.

“Disebabkan tularnya jenama Coffee Ngencess itu, mulalah tumbuh gerai-gerai menjual minuman di tepi-tepi jalan tetapi Coffee Ngencess telah berkembang dengan pelbagai konsep pasaran. Kami telah melalui konsep khemah, kiosk dalam pasaraya, food truck dan kafe, terkini yang masih kekal, konsep kiosk di Kipmart Masai dan Bandar Penawar, konsep kafe di UTHM Batu Pahat, konsep food truck di Desa Tebrau, Pasir Gudang dan sekitar event di Johor Bahru,” katanya lagi.

Tidak berhenti disitu, Coffee Ngencess turut mendapat tempat di agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan sokongan mereka bagi mengembangkan perniagaan bantuan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Fama, IRDA, EDC JB, PNS Dan MyIPO.

Nasihat beliau, jika anda mempunyai produk, anda harus yakin dengan produk anda dan harus juga yakinkan produk anda boleh pergi jauh atau sekurang-kurangnya boleh berada dalam pasaran secara berterusan. Yakinkan diri sendiri dahulu sebelum yakinkan orang lain dan cuba buat terlebih dahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *